fb fb fb fb fb

Petugas Palang Merah diculik di Mali

(FOTO HIASAN)

DAKAR, 5 Mac- Dua petugas Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa ICRC telah diculik di utara Mali pada Sabtu.

Penculikan adalah perkara biasa di Mali, yang sedang bergelut dengan krisis keselamatan dan politik sejak pemberontakan militan dan puak pemisah meletus di utara negara itu pada 2012.

Militan yang bergabung dengan Al-Qaeda dan Daesh telah meningkatkan operasi mereka ke Mali tengah dan negara jiran, Niger dan Burkina Faso.

Beribu-ribu orang awam, polis dan tentera telah terbunuh di seluruh wilayah, dan lebih daripada dua juta penduduk telah meninggalkan rumah mereka.

"Kami mengesahkan penculikan dua rakan sekerja kami pagi ini", kata ICRC, sambil menambah bahawa insiden itu berlaku antara Gao dan Kidal di utara negara itu.

ICRC, yang telah berada di negara tersebut selama 32 tahun, mengulangi bahawa pihaknya adalah "neutral, bebas dan tidak berat sebelah", dan meminta supaya tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai insiden itu agar ia tidak mengganggu siasatan.

"ICRC kesal (insiden) dan menuntut pembebasan petugasnya," Aminata Alassane, pegawai perhubungan awam ICRC, memberitahu AFP.

Pengarah operasi agensi yang dilantik baru-baru ini, Martin Schuepp, melawat Mali tahun lalu, berkata jenayah berleluasa di negara itu, yang menimbulkan cabaran keselamatan bagi kumpulan tersebut.

"Walaupun begitu, kami melakukan segala yang mampu untuk menghubungi mereka yang dalam kesusahan, termasuk di kawasan terpencil di negara ini."

Rasa tidak selamat telah meningkat di utara Mali dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Perdana Menteri Choguel Kokalla Maiga memendekkan lawatan ke wilayah itu pada Februari kerana ancaman keselamatan.

Mali diperintah oleh junta yang tahun lalu memaksa Perancis mengeluarkan tentera yang ditempatkan di sana sedekad lalu.

Dengan ketiadaan tentera Perancis, junta telah membawa masuk kumpulan Wagner Rusia untuk meningkatkan pasukan kerajaan.

Bulan lalu, EU mengenakan sekatan ke atas ketua pasukan Wagner di Mali, mengatakan mereka 'telah terlibat dalam tindakan keganasan dan pelbagai pencabulan hak asasi manusia, termasuk pembunuhan di luar undang-undang.

Dengan kawalan kerajaan yang lemah di beberapa bahagian negara, penculikan telah menjadi perkara biasa, dengan motif untuk tuntutan wang tebusan dan juga membalas dendam.

Pada bulan Februari, seorang doktor Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang telah diculik di Mali pada akhir Januari dibebaskan.

Pada bulan Mei, sekumpulan lelaki bersenjata menculik tiga warga Itali dan seorang warga Togol di kawasan tenggara negara itu.

Pergolakan telah merebak ke luar Mali hingga ke negara jiran Burkina Faso dan Niger.

Di Burkina Faso, seorang biarawati Amerika telah diculik oleh kumpulan militan pada April lalu dan dibebaskan pada Ogos.-AFP


(Peta lokasi dua petugas ICRC diculik)

Media Baharu