PULAU PINANG, 1 Mac- Golongan pesawah di Kepala Batas di sini menzahirkan rasa syukur atas pengumuman bantuan RM15 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis bagi membantu mereka menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Mereka menyifatkan bantuan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.
Seorang pesawah, Muhammad A’fif Osman berkata pengumuman itu merupakan satu bonus dan penghargaan kepada pesawah khususnya di kawasan lembah padi seluruh Malaysia.
"Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban kami menjelang Ramadan dan Syawal," katanya.
Seorang lagi pesawah, Nor Liza Zakaria turut menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut yang disifatkannya sebagai bantuan tepat pada masanya.
"Kami sangat berterima kasih kerana pengumuman ini dapat membantu menampung pendapatan kami sebelum Ramadan ini, " katanya.
Namun, terdapat pesawah berpandangan keperluan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,500 kepada RM1,800 juga perlu diberi perhatian bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi negara.
Mohd Syahid Mohd Hazani berkata kenaikan harga lantai belian padi adalah lebih penting bagi pesawah.
"Bantuan ini dihargai, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang. Kami tetap mendesak kenaikan harga lantai kerana kos pengeluaran padi semakin meningkat, contohnya untuk 5.6 hektar, kos saya mencecah RM1,600 bagi satu tan,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan penyaluran bantuan tersebut akan diselaraskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam masa terdekat.
Pada 13 Februari lalu, Anwar turut mengumumkan bahawa tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan dalam membela nasib pesawah miskin.
BERITA BERKAITAN