KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Pembangunan sukan terus diperhebat dalam Belanjawan 2026 apabila Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan lebih RM580 juta bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, ia akan disalur untuk pemerkasaan sukan berprestasi tinggi termasuk program Road to Gold; persediaan bagi Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 dan pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak.
"Peruntukan juga akan disalur untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan belia dan sukan seluruh negara dan naik taraf padang-padang sekolah Kementerian Pendidikan seluruh negara.
"Bagi menggalakkan aktiviti pembangunan sukan negara, kerajaan bersetuju membenarkan organisasi yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menggunakan sebahagian daripada pendapatan diterima bagi menjalankan aktiviti sukan," jelas beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.