KUALA LUMPUR, 1 April - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 10,560 unit rumah perumahan swasta daripada 88 projek dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM8.23 bilion setakat Februari lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada 88 projek perumahan itu, sebanyak 81 projek telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Manakala lima projek berstatus sakit kembali menjadi lancar dan dua projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan.
"Sehingga 29 Februari 2024, statistik menunjukan terdapat 230 projek lewat, 462 sakit, 115 terbengkalai. Kesemua projek lewat, sakit, terbengkalai terkini membawa nilai pembangunan kasar GDV sebanyak RM201.75 bilion.
"Nilai ini sebenarnya menunjukkan terdapat pengurangan terhadap bilangan projek lewat, sakit dan terbengkalai berbanding yang dilihat sehingga 31 Januari lalu," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini.
Selain itu, Aiman Athirah berkata KPKT juga masih mengekalkan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) sebagai satu daripada agenda utama kementerian dengan fokus yang lebih bersasar dan strategik.