fb fb fb fb fb

Pertemuan Anwar, Antonio Tajani perkukuh hubungan dua hala

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar, Antonio Tajani, di Rom hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata pertemuan itu mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain.

"Kami turut membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan Malaysia serta ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU).

"Kami juga bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global seperti konflik di Gaza, situasi di Ukraine dan perkembangan di Asia Barat khususnya melibatkan Iran dan Israel.

Tambah beliau, Malaysia menghargai hubungan erat dengan Itali sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama rentas benua demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM