fb fb fb fb fb

Pertahan perairan negara, TLDM harus dilengkapi aset terkini

Foto FB TLDM

KUALA LUMPUR, 27 April- Landskap pertahanan negara yang berubah dan semakin mencabar menuntut agar pertahanan negara diperlengkapkan dengan sewajarnya.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata TLDM harus dibekalkan dengan aset terkini seiring tanggungjawab dalam memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah perairan negara.

Asisten Ketua Staf Materiel, Laksamana Muda Satria Sarawak Jais memaklumkan perkara itu ketika menyampaikan perutusan pada perbarisan sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-89 mewakili Panglima Tentera Laut di Kapal Diraja (KD) Sri Gombak, Kuala Lumpur.

"Melihat kepada cabaran dan kebimbangan ini, TLDM dan Kementerian Pertahanan sedang giat berusaha untuk memperkasakan keupayaan dan meningkatkan infrastruktur dengan memastikan Projek Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan dengan segera mengikut perancangan yang telah disusun semula sepertimana yang telah diumumkan menteri pertahanan," kata Satria dalam ucapannya.


(Foto FB TLDM)

Tambahnya, TLDM juga memberi keutamaan kepada rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang usang dengan memberi fokus utama dalam perolehan Kapal Misi Littoral (LMS) kumpulan kedua seperti yang diluluskan dalam Pembentangan Bajet 2023.

Mengikut perancangan Kapal Tempur Littoral (LCS) pertama dijangka beroperasi pada 2026 manakala LMS kumpulan kedua pada 2027.

Sementara itu, TLDM melaksanakan program baik pulih kapal sementara menunggu penggantian aset baharu melalui inisiatif keusangan dan pengupayaan semula.

Terdahulu, 191 individu terdiri daripada 40 pegawai dan 151 anggota lain-lain pangkat menyempurnakan istiadat perbarisan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-89 di KD Sri Gombak, pagi tadi.

Perbarisan berkonsepkan statik itu menekankan aspek keselamatan dan mempamerkan kesiagaan warga TLDM.

Media Baharu