fb fb fb fb fb

Persidangan Dewan DUN Perak tampil berwajah baharu 22 Mei depan

(Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen
melihat keadaan terkini Dewan Negeri hari ini/FOTO Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak)

IPOH, 18 Mei - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 yang diadakan bermula Isnin depan bakal berwajah baharu serta penukaran karpet di dalam Dewan Persidangan yang sudah 25 tahun tidak ditukar.

Pengubahsuaian membabitkan ruang dalaman Dewan Negeri dengan kos dianggar bernilai RM1 juta sejak Februari lalu.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk menaik taraf meja, kerusi, sistem audio dan visual. 

“Penambahbaikan ini dapat memberikan keselesaan dan suasana yang lebih segar kepada Ahli Dewan, seiring dengan iltizam untuk memartabatkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Pertama Dewan Negeri ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen.

Mohammad Zahir berkata, sidang DUN Perak akan berlangsung selama empat hari bermula Isnin, 22 Mei hingga Khamis, 25 Mei depan.

Persidangan selama empat hari itu melibatkan sesi soalan lisan yang berlangsung selama 90 minit.

Dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa pada persidangan kali ini iaitu Enakmen Hotel Perak 2023 dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

"Seramai 46 orang Ahli Dewan Negeri akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU tersebut," katanya.

Media Baharu