
- Perpaduan berbilang kaum adalah asas kekuatan negara dan mesti dipelihara untuk kestabilan dan kemakmuran.
- Rakyat berbeza kaum, budaya dan agama perlu hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni.
- Pemimpin mesti menjaga kebajikan semua rakyat tanpa pilih kasih dan membantu secara adil.
- Semangat saling sayang dan hormat perlu diperkukuh untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan Malaysia.
IPOH, 15 Februari – Perpaduan rakyat berbilang kaum terus menjadi asas kekuatan Malaysia dan mesti dipelihara demi menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai sebuah keluarga besar yang dihuni pelbagai kaum, budaya dan agama perlu hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni.
Menurut beliau, keamanan dan kestabilan negara adalah syarat utama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dinikmati bersama.
“Kalau kita tengok orang Melayu di Kelantan miskin, kita kena rasa. Pergi ke Kampung Kanthan ada Cina sakit susah, kita kena rasa. Pergi ke estet ada orang India miskin, rumah pecah, kita kena rasa. Baru boleh jadi pemimpin di Malaysia ini.
“Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Iban anak saya, anak Kadazan anak saya. Baru boleh jadi… saya harap semangat Gong Xi Fa Choi, semangat anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama warga Tambun di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Khantan Bharu, di sini hari ini.
Mengulas dakwaan kononnya beliau hanya memberi tumpuan kepada kaum tertentu, beliau menegaskan seorang pemimpin negara wajib menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Tambah beliau, kerajaan akan terus membantu komuniti di seluruh negara secara adil dan saksama.
“Pemimpin negara mesti jaga semua. Tidak boleh pilih kasih. Semua rakyat berhak dibela,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa semangat perpaduan yang sedia terjalin ketika ini perlu terus diperkukuh dengan sikap saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain demi memastikan Malaysia kekal aman dan stabil.