JOHOR BAHRU, 17 Mac- Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan perolehan kumpulan dua bagi tiga buah Kapal Misi Pesisir Pantai (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan kapal berkenaan dijangka akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan selepas perolehan berkenaan selesai.
Pihaknya juga akan terus memberikan fokus terhadap pembinaan lima buah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang tertangguh sekian lama agar berjalan lancar.
"Ia sepatutnya sudah lama siap tetapi tidak siap. Namun, kali ini kita yakin ia akan dapat disiapkan."
"Kita harap menjelang November 2024 ia telah boleh mula menjalani Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial," kata Khaled kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Johor Bahru.
Sementara itu, beliau memaklumkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerajaan terbaik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pegawai serta anggota tentera.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta dan merupakan peruntukan terbesar untuk menyelenggara rumah anggota-anggota tentera berbanding sebelum ini.
RM69 juta daripada jumlah berkenaan diperuntukkan untuk kebajikan dan penyelenggaraan rumah Tentera Laut Diraja Malaysia.