KANGAR, 26 April- Perlis menjadi lokasi terakhir menutup tirai kemeriahan Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Bertempat di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, program dijangka berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis, Maznah Musa, sambutan kali ini lebih istimewa kerana turut bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang dijadual berangkat bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Lebih 50 jenis juadah termasuk nasi gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk FELDA Negeri Perlis bakal disajikan kepada pengunjung bermula pukul 3 petang hingga 6.30 petang.
"Pada awalnya, kami sasarkan kehadiran sekitar 10 ribu orang, namun berdasarkan sambutan yang diterima, kami menjangka jumlah pengunjung di program di Perlis ini akan melebihi sasaran. Walaupun begitu, kami tetap bersedia untuk menguruskan kehadiran yang lebih, walaupun sedikit," kata Maznah ketika ditemui selepas menjadi tetamu di konti Perlis FM, Kangar.
Bagi kemudahan pengunjung, tapak parkir utama disediakan bersebelahan tapak acara di Dataran Lok 9, manakala parkir tambahan turut disediakan di Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis serta Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalillail.
Perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) dari kedua-dua lokasi parkir juga akan disediakan.
Bertemakan "Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara", majlis sambutan kali ini bukan sekadar meraikan Aidilfitri, tetapi juga menjadi platform mengukuhkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
Terdahulu, Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 sebelum ini bermula di Melaka pada 5 April, sebelum diteruskan ke Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Perak, sebelum berakhir di Perlis esok.