fb fb fb fb fb

Perlis tuan rumah sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66

Pemangku Raja Perlis, berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dengan kerjasama MAIPs di sekitar Kem Bukit Keteri

BESERI, 14 Jun- Perlis dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) ke-66 Peringkat Kebangsaan buat julung kalinya yang akan berlangsung pada 28 sehingga 30 Jun 2024.

Sambutan ini juga diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke-81 dan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berlangsung.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuklah forum berjudul ‘Whole Of Government Whole Of Society (WOGOS), majlis makan malam, sukan antara rejimen, sesi sukan golf dan woodball, lawatan ke tempat-tempat menarik di Perlis.

Acara kemuncak adalah perbarisan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) yang akan diadakan di Kem Bukit Keteri pada 29 Jun 2024 (Sabtu).

"Rejimen 504 Askar Wataniah sebagai urusetia setempat telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memastikan persediaan bagi sambutan yang merupakan acara tahunan ini berada pada landasan dan garis masa seperti yang dirancang.

"Lebih daripada 1,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Darat Malaysia khususnya Askar Wataniah akan berada di Perlis dalam tempoh tersebut", titah Baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kem Bukit Keteri.

Bersempena kayuhan ini, tiga orang asnaf yang terpilih menerima wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian masing-masing.

ROSLINA BINTI DIN