
ARAU, 24 September – Perlis mempunyai potensi untuk diketengahkan bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai negeri yang menawarkan naratif, identiti dan warisan tersendiri bagi memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pengunjung.
- Kekuatan sejarah, budaya, alam dan identiti tempatan boleh diperkasa untuk membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam.
- Penyelidikan pelancongan Islam, warisan dan kelestarian mesti diterjemah kepada dasar, inovasi dan penyelesaian berimpak kepada rakyat.
- Kerjasama erat antara kerajaan, universiti, pemain industri dan komuniti diperlukan untuk memperkukuh jaringan dan inisiatif melalui UniTHRA.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kekuatan Perlis dalam aspek sejarah, budaya, alam semula jadi dan identiti tempatan merupakan aset yang boleh diperkasa dalam membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam serta keunikan negeri.
Penyelidikan dalam bidang pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pelancongan Islam memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, pemain sektor dan komuniti setempat. Jaringan yang dibina melalui UniTHRA 2026 perlu diperkukuh melalui penyelidikan, pertukaran kepakaran serta pembangunan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
“UniSIRAJ mempunyai peranan penting dalam menghubungkan ilmu dan penyelidikan dengan keperluan pembangunan, manakala Perlis boleh terus diketengahkan berdasarkan lapan kekuatan, keunikan dan identiti tersendiri”, titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) ketika berkenan menyempurnakan Persidangan Pelancongan, Warisan, Penyelidikan dan Kesedaran Islam Antarabangsa (UniTHRA 2026) di Dewan Sivik, Arau.
Penganjuran UniTHRA 2026 mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ dalam memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas wacana antarabangsa berkaitan pelancongan Islam, warisan dan pembangunan mampan.
Persidangan anjuran UniSIRAJ menghimpunkan pakar akademik, pemain industri dan tokoh agama dari dalam serta luar negara yang bertemakan “Memperkasakan Pelancongan Islam Demi Pembangunan Mampan”, menjadi platform antarabangsa untuk membincangkan peranan warisan dan penyelidikan dalam memperkasa industri pelancongan Islam secara mampan.