PUTRAJAYA, 7 Disember- Sistem pertahanan negara perlu diperkukuh serta bergerak seiring perkembangan teknologi arus perdana.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia memerlukan sistem pertahanan yang mapan serta mampu bertahan dalam mendepani cabaran masa depan, sama seperti negara lain di dunia.
Langkah terbaik adalah dengan menekankan pelaburan yang kukuh serta menyediakan kemudahan ketenteraan meliputi senjata canggih berteknologi tinggi.
Ini mengambilkira kepesatan teknologi, inovasi digital dan kemajuan saintifik yang berkembang dari semasa ke semasa.
"Keperluan negara untuk kita pastikan kita mempunyai pasukan pertahanan yang kuat dan sentiasa bersedia, berasaskan kepada perubahan-perubahan yang berlaku, antaranya, kemajuan teknologi yang tentunya akan mengubah cara dan pendekatan peperangan, termasuklah dalam soal-soal kita menjayakan dan menyediakan strategi dan doktrin pertahanan kita", katanya.
Datuk Seri Khaled berkata demikian dalam Majlis Konvokesyen Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) 2024, di Putrajaya.