fb fb fb fb fb

Perkhidmatan eKaunter JPJ catat kutipan lebih RM233 juta

(FOTO BERNAMA)

ALOR SETAR, 10 Disember - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil berjumlah lebih RM233 juta menerusi 201 unit eKaunter (kios) JPJ di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Disember lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata kutipan hasil itu melibatkan jumlah transaksi kios keseluruhannya sebanyak lebih 1.6 juta.

(Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim / FOTO BERNAMA)

"Perkhidmatan kios ini dapat memudahkan pelanggan untuk membuat pelbagai transaksi yang ditawarkan dengan mudah, cepat dan selamat tanpa perlu ke pejabat JPJ dan itu telah membantu meningkatkan kutipan hasil,” katanya selepas merasmikan Kios JPJ Fasa Tiga di Pejabat JPJ Kedah, di sini.

Sebanyak lima unit kios beroperasi pada fasa pertama manakala empat unit bagi fasa kedua dan enam lagi unit kios untuk fasa tiga ditempatkan di negeri itu yang akan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 unit.

Dalam perkembangan lain, Zailani berkata pihaknya bersedia menawarkan gantian dokumen penting seperti Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan LKM secara percuma kepada penduduk terjejas banjir di seluruh negara.

“Sama seperti kejadian banjir di Yan dan Baling sebelum ini, JPJ membantu mangsa yang kehilangan dokumen penting seperti lesen memandu. Sekiranya maklumat mereka ada dalam pangkalan data, kita akan keluarkan semula dokumen yang diperlukan secara percuma,” katanya.

Media Baharu