fb fb fb fb fb

Perdana Menteri mulakan lawatan rasmi ke Kemboja

PHNOM PENH, 23 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan dua hari ke Kemboja, mulai hari ini.

Lawatan tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan yang terjalin sejak 65 tahun lalu, ke tahap lebih matang serta saling menguntungkan.

Pada lawatan tersebut, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim, Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Istana Keamanan Phnom Penh.

Diikuti pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya, Hun Sen. Kedua-dua pemimpin kemudiannya, akan mengadakan sidang media bersama.

"Fokus perbincangan, antara lain tertumpu kepada beberapa isu berkaitan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, komoditi serta isu serantau", katanya.

Selain itu, Datuk Seri Ismail Sabri juga dijadual menerima kunjungan hormat Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Othman Hassan, yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Senat dan Presiden Dewan Negara sebelum menghadiri majlis mengadap ke atas Raja Kemboja di Istana Negara.

"Orang di sini terkenal dengan orang-orang Champa, mereka banyak di Malaysia kerana mungkin hubungan dari status perkahwinan dan sebagainya. Di sini banyak orang Kemboja / Champa yang boleh berbahasa Melayu. Itu satu lagi kelebihan yang kita ada, yang boleh kita tingkatkan dari segi diplomasi budaya.

"Saya amat gembira apabiaa mendapat tahu Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggunakan Bahasa Melayu pada sidang media bersama dan juga pertemuan empat mata. Bila kita menunjukkan martabat bahasa kebangsaan itu, ia menunjukkan kita sudah bersedia melangkah lebih ke hadapan", katanya

Di lokasi penginapan, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam dan ramah mesra dengan Keluarga Malaysia di Kemboja diikuti pertemuan bersama komuniti perniagaan Malaysia di Kemboja.

Mengambil kira situasi COVID-19, semua majlis berkenaan tertakluk kepada peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan Kemboja.

Media Baharu