Peralihan strategi tenaga penting dalam ketidaktentuan bekalan global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama dalam Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 AprilMalaysia perlu mempercepat peralihannya ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan cekap dari segi kos bagi mendepani ketidaktentuan bekalan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengurus pendedahan kepada ketidaktentuan, menyeimbangkan keperluan bekalan dengan usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup.
  • Gangguan bekalan tenaga global menjejaskan harga tenaga, sistem pengeluaran dan rantaian bekalan.
  • Gangguan memberi implikasi kemanusiaan segera serta impak sosioekonomi meluas, berpotensi menambah ketidakstabilan.
  • Malaysia tidak terkecuali dan kekal komited melindungi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peralihan tuntas dalam strategi tenaga bukan sahaja merupakan keperluan alam sekitar, malah amat penting susulan gangguan dalam bekalan tenaga global.

“Kerajaan telah mengambil langkah untuk menguruskan pendedahan kepada situasi tidak menentu, mengimbangi keperluan untuk memastikan bekalan mencukupi dengan kepentingan mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup berikutan gangguan bekalan tenaga global,” katanya dalam ucaptama di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata gangguan tenaga global akan menjejaskan harga tenaga dan impaknya akan meliputi sistem pengeluaran, rantaian bekalan dan kos sara hidup harian di negara-negara maju dan membangun.

“Kita telah melihat gangguan terhadap tenaga dan infrastruktur yang memberi implikasi kemanusiaan serta-merta, dengan impak sosioekonomi yang meluas dan berpotensi menambah ketidakstabilan dalam persekitaran yang sedia lemah,” kata beliau.

Menurutnya, gangguan tersebut menyebabkan krisis kemanusiaan dan kejutan sistemik yang lebih luas, mengganggu pasaran, menjejaskan rantaian bekalan dan menggugat kestabilan ekonomi merentasi benua.

Tegas beliau, Malaysia tidak terkecuali daripada gangguan bekalan tenaga global dan kekal komited sepenuhnya untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia.