IPOH, 2 Jun- Perak bersedia melihat keperluan untuk menambah lebih banyak penerbangan antarabangsa ke negeri itu.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee berkata perkara itu bagaimanapun memerlukan perbincangan rapi sebelum dapat dilaksanakan.
Jelasnya, antara perkara yang perlu diberi tumpuan termasuklah keupayaan lapangan terbang negeri untuk menerima kehadiran pesawat dari luar negara.
"Kita melihat supaya ia dapat membina satu pelancongan yang lebih murah dan berpatutan. Sudah tentu, kita mempunyai penerbangan sekarang, kita seharusnya memanfaatkan peluang itu kerana sekarang dunia sudah berbeza.
Kita boleh melancong tanpa bawa bagasi sekali gus ia boleh membantu sektor pelancongan di Perak ini," kata Sze Yee kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Familiarization Trip Batik Air Vietnam di Lost World Of Tambun Ipoh, malam tadi.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus sama ada domestik atau antarabangsa bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong.
Perak sebelum ini menyasarkan kemasukan 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong luar negara sempena Tahun Melawat Perak 2024.
(Foto Fail)