fb fb fb fb fb

Perak bentang RM1.35 bilion untuk Belanjawan Negeri 2024

MB Perak bentang Belanjawan negeri 2024 babitkan peruntukan RM1.35 bilion/FOTO FAIL DUN PERAK

IPOH, 1 Disember - Persidangan Dewan  Undangan Negeri (DUN) Perak membentangkan RM1.35 billion dalam Belanjawan Negeri 2024, sekali gus mencatatkan peruntukkan tertinggi dalam sejarah di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM856 juta adalah untuk belanja mengurus sementara itu, RM491 juta digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Saarani berkata, peruntukkan bagi tujuan pembangunan meningkat sebanyak RM96 juta berbanding RM395 juta pada tahun 2023 dengan kebanyakkan disalurkan kepada kesejahteraan rakyat.

"Belanja bagi maksud pembangunan tahun 2024 ditokok dengan jumlah besar iaitu RM96.0 juta (24.3 peratus) berbanding belanjawan 2023.

"Peningkatan ini bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat yang mana disokong pula oleh kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin mengukuh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan DUN Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Belanjawan Perak dengan tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu menumpukan lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Dalam pembentangan itu, Saarani turut mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar pada bulan ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN