
KUALA LUMPUR 5 Mac – Serangan terhadap infrastruktur kritikal seperti tenaga, komunikasi, dan sistem kewangan kini dianggap sebagai senjata utama dalam peperangan moden, yang mampu melumpuhkan sesebuah negara tanpa perlu berlaku serangan fizikal.
- Sasaran utama peperangan moden ialah infrastruktur kritikal seperti tenaga, komunikasi dan sistem kewangan yang boleh melumpuhkan negara tanpa serangan fizikal.
- Kegagalan sistem perbankan dan bekalan elektrik memberi impak besar kepada ekonomi, pembelian harian dan kestabilan sosial.
- Peningkatan ancaman maklumat melalui AI dan deepfake menuntut kesedaran siber dan kemahiran pakar teknologi maklumat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer, Universiti Teknologi MARA, Dr Azhar Abdul Aziz berkata konflik terhadap sumber penting seperti tenaga dan sistem kewangan lazimnya menjadi sasaran utama dalam mana-mana konflik.
“Dalam mana-mana peperangan, perebutan kuasa seperti bahan api dan perbankan adalah antara yang paling kritikal dan itu yang pertama sekali akan menjadi sasaran.
“Ini mungkin permulaan dan kita perlu bersedia menghadapi peperangan ini walaupun ia kelihatan jauh daripada kita.” jelasnya kepada media selepas menjadi tetamu pada Rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Menurut Dr Azhar, gangguan terhadap sistem digital seperti perbankan atau bekalan elektrik boleh memberi impak besar bukan sahaja kepada ekonomi tetapi juga kepada kehidupan harian rakyat.
“Apabila sistem perbankan dilumpuhkan, kesannya sangat besar kepada pembelian, komuniti dan pelaburan. Begitu juga dengan elektrik kerana hampir semua sistem hari ini bergantung kepada rangkaian dan tenaga.”
Jelas beliau, peperangan moden juga kini merangkumi peperangan maklumat, di mana teknologi seperti kecerdasan buatan dan deepfake digunakan untuk memanipulasi minda dan psikologi masyarakat.
“Kita sudah nampak kesan AI dan deepfake yang boleh mempengaruhi minda serta psikologi penerima maklumat. Sebab itu kita perlu pastikan sesuatu kandungan itu sahih sebelum dikongsikan.”
Sehubungan itu, Dr Azhar menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat serta memperkukuh kemahiran pakar teknologi maklumat bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman digital pada masa hadapan.