BANGI, 29 Oktober - Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão menegaskan bahawa penyertaan negaranya sebagai anggota ke-11 ASEAN merupakan simbol solidariti dan perpaduan serantau dalam dunia yang semakin berpecah.
Beliau menyifatkan minggu ini sebagai detik bersejarah buat rakyat Timor-Leste selepas perjuangan panjang menuju pengiktirafan serantau.
"Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN menandakan lembaran baharu dalam sejarah negara kami serta dalam kisah rantau Asia Tenggara.
"Dengan penyertaan ini, saya merasakan identiti Timor-Leste kini benar-benar menjadi sebahagian daripada keluarga Asia Tenggara.
"Ia mencerminkan perjalanan dunia selama dua dekad yang penuh dengan usaha membina negara, komitmen terhadap keamanan serantau, kerjasama, dan perkongsian kemakmuran," katanya.
Katanya ketika berucap pada Syarahan Canselor Tuanku Muhriz 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa detik bersejarah itu adalah milik setiap rakyat Timor-Leste yang pernah berjuang untuk kebebasan, mereka yang membina semula komuniti selepas kemerdekaan, serta generasi muda yang kini akan membesar dengan kesedaran bahawa masa depan mereka terikat dengan masa depan rantau Asia Tenggara.
“Detik ini adalah milik setiap rakyat Timor-Leste yang telah berjuang demi kebebasan, kepada mereka yang membina semula komuniti kita, serta kepada generasi muda yang kini akan membesar dengan kesedaran bahawa masa depan mereka terikat dengan masa depan rantau kita.
"Sejak dari awal lagi, kami sedar bahawa kejayaan negara kecil kami bergantung kepada kekuatan persahabatan dan semangat kerjasama bersama negara-negara serantau.,” katanya lagi.
Menurut beliau, keanggotaan ASEAN memberi peluang besar kepada rakyat Timor-Leste untuk menikmati manfaat ekonomi, sosial dan pembangunan jangka panjang.
Majlis syarahan tersebut turut dihadiri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, warga universiti serta wakil-wakil diplomatik, menandakan satu lagi detik bersejarah dalam hubungan pendidikan dan diplomasi serantau antara Malaysia dan Timor-Leste.