fb fb fb fb fb

Penyertaan awal dalam Pengakap bantu bentuk pemimpin muda

Ketua Pengakap Negara, Datuk Profesor Dr. Mohd Zin Bidin / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Persekutuan Pengakap Malaysia menyambut baik cadangan agar murid sekolah rendah seawal darjah satu dibenarkan menyertai gerakan Pengakap, selaras dengan usaha memupuk nilai kepimpinan dan kemasyarakatan sejak usia muda.

Ketua Pengakap Negara, Datuk Profesor Dr. Mohd Zin Bidin berkata pihaknya telah mempunyai kokurikulum khusus untuk kanak-kanak berumur antara empat hingga sembilan tahun, namun penyertaan mereka terhenti apabila memasuki darjah satu berikutan dasar semasa Kementerian Pendidikan yang hanya membenarkan penyertaan badan beruniform bermula darjah empat.

“Kita sudah mempunyai kokurikulum khusus untuk murid tadika daripada berumur empat hingga sembilan tahun. Tetapi malangnya apabila murid tadika ini memasuki darjah satu, sistem badan uniform di kementerian hanya bermula darjah empat. Jadi, darjah satu, dua, tiga mereka tidak ada persatuan.

“Justeru, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perubahan polisi agar murid darjah satu dapat menyertai badan uniform. Pengakap sudah bersedia dengan silibus dan kokurikulum berkaitan yang sesuai dengan murid darjah satu hingga tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik (APR SIAW) 2025, di sini.

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar dalam sesi panel APR SIAW 2025 pada Jumaat lalu mencadangkan agar murid seawal darjah satu dibenarkan menyertai gerakan Pengakap bagi membentuk asas nilai kepimpinan yang kukuh sejak awal usia.

Mengulas dakwaan bahawa penyertaan seawal usia itu mungkin terlalu awal, Mohd Zin menegaskan murid masa kini lebih matang dan berdaya saing berbanding generasi sebelumnya.

“Murid zaman sekarang tidak sama macam murid zaman saya sebab darjah empat baru kita layak. Tetapi murid tadika masa kini lebih bijak kerana pandai mengendalikan gajet, lebih yakin diri, ada kualiti pemimpin serta kemahiran insaniah,” jelasnya lagi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN