Penyelarasan dasar import EV CBU perkukuh industri automotif tempatan

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Penyelarasan dasar pengimportan kenderaan elektrik (EV) siap dipasang sepenuhnya (CBU) bukan bertujuan menaikkan harga kenderaan, sebaliknya bagi memperkukuh pembangunan industri automotif tempatan dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab EV serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah sebahagian pelaksanaan Dasar Automotif Nasional untuk pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, pekerjaan berkemahiran tinggi dan kapasiti eksport.
  • Kerajaan menawarkan pengecualian cukai EV CBU sehingga 31 Disember 2025 bagi menggalakkan penggunaan dan membina permintaan pasaran.
  • Rasionalisasi dasar menetapkan CIF minimum RM200,000 dan kuasa motor minimum 180 kilowatt sebagai peralihan strategik kepada pembangunan industri tempatan.
  • Pendekatan berperingkat dengan sasaran EV dan kenderaan cekap tenaga 20% 2030, 50% 2040 dan 80% 2050 serta dasar jelas menarik pelaburan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Automotif Nasional yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem industri menerusi pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan kapasiti industri untuk pasaran eksport.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini memperkenalkan pengecualian cukai bagi EV CBU dari 2022 hingga 31 Disember 2025 sebagai fasa awal untuk menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat serta membina permintaan pasaran.

“Selepas tempoh insentif itu berakhir, kerajaan melaksanakan rasionalisasi dasar pengimportan EV CBU dengan menetapkan nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta kuasa motor minimum 180 kilowatt.

“Langkah ini bukan bertujuan menaikkan harga lantai EV, tetapi sebagai peralihan strategik daripada fasa galakan penggunaan kepada pembangunan industri tempatan,”katanya di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, pembangunan industri EV negara dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan meningkatkan penggunaan EV, diikuti usaha memperluaskan pemasangan tempatan sebelum memasuki fasa penyetempatan bagi meningkatkan penglibatan vendor tempatan dalam rantaian bekalan industri EV.

Jelas beliau, kerajaan menyasarkan kenderaan elektrik dan kenderaan cekap tenaga merangkumi 20 peratus daripada jumlah kenderaan baharu menjelang 2030, meningkat kepada 50 peratus pada 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Tegasnya, dasar yang jelas dan konsisten merupakan faktor penting dalam menarik pelaburan kerana ia memberi kepastian kepada syarikat untuk merancang pelaburan serta mengira pulangan pelaburan dengan lebih yakin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.