fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal usia 50 tahun maut dipanah petir

KUALA LANGAT, 3 Mei - Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri akiabt dipanah petir di tepi jalan di Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, semalam.

Ketika kejadian, mangsa warga tempatan, berusia 50 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada jarak kira-kira 16 kilometer dari lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata mangsa bekerja di sebuah kilang di Bandar Mahkota, Banting dengan menunggang motosikal kira-kira 6.20 petang.

"Semasa melalui Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding, mangsa telah terkena panahan petir lalu jatuh dari motosikalnya dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa terjatuh sejauh 50 meter ke hadapan dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang awam yang melalui jalan itu membantu mengangkat mangsa dan diletakkan di tepi jalan dan menghubungi talian kecemasan.

"Mangsa cedera di bahagian leher kanan serta lebam di bahagian perut dan paha akibat panahan petir," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat dua lubang kesan panahan petir di atas jalan raya di lokasi kejadian.

"Bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat panahan petir dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.

Media Baharu