KANGAR, 10 Disember- Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh sebuah Perodua Myvi di Jalan Kangar-Alor Setar kira-kira pukul 10.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fauzee Arshad, 52 tahun dari Kampung Teluk Jambu, Bintong, Kangar.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi yang di pandu seorang lelaki membuat pusingan U ke Taman Pertiwi.
Semasa sedang membelok ke kanan, motosikal ditunggangi mangsa yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan iaitu dari arah Kangar ke Alor Setar tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri kereta.
Akibat dari perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, pemandu kereta berusia 31 tahun dan penumpang berusia 23 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Zon Merah Hospital Tuanku Fauziah untuk menerima rawatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.