fb fb fb fb fb

IPR bantu tingkat pendapatan penduduk luar bandar

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Kerajaan komited memastikan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) turut merangkumi penduduk luar bandar agar tidak tercicir dalam menjana pendapatan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, program IPR direka bentuk bagi memperkukuh penyertaan golongan sasar dalam meningkatkan pendapatan melalui pelbagai intervensi yang mampu meningkatkan ekonomi luar bandar.

Bawah Strategi IPR INTAN, pelbagai latihan dan bimbingan berkaitan aktiviti pertanian moden berskala besar dirangka bagi tujuan tersebut.

"Selain daripada itu, kita juga bekerjasama dengan universiti awam dan pemimpin setempat untuk melaksanakan IPR Basmi Miskin Tegar (BMT), supaya ia bersesuaian sebagai pelaksanaan yang terbaik untuk mereka," katanya semasa persidangan Dewan Negara.

Menurut Datuk Hanifah, pelaksanaan IPR–BMT mengambil kira profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dikenal pasti di seluruh negara.

Sejumlah 253 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar telah diluluskan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang berupaya menjana pendapatan.

MASNIZA AWANG KECHIK