KUALA LUMPUR, 10 Disember- Timbalan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasamy hari ini, mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai Senator.
Upacara angkat sumpah itu dilafazkan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Jelas Datuk Awang, pelantikan semula tersebut berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 9 Disember 2028.
“Kedua-dua senator ini merupakan lantikan di bawah Yang Dipertuan Agong mengikut Peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan."
"Pelantikan ini adalah pelantikan semula bagi penggal kedua yang berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Disember 2028 selaras dengan Peruntukan 45(3) dan Perkara 45(3A) Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau di Dewan Negara, hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Fuziah dan Saraswathy atas pelantikan semula tersebut.
“Bagi pihak Dewan Negara diucapkan setinggi-tinggi tahniah kedua-dua senator atas pelantikan semula ini. Selamat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dan selamat berkhidmat,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Fuziah dan Saraswathy mengangkat sumpah Senator bagi penggal pertama pada Disember 2022.