KUALA LUMPUR, 10 Disember - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara melalui pelaksanaan pelbagai perancangan strategik jangka panjang 2025–2035 bagi menyokong agenda Malaysia Madani, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Bercakap selepas muncul dalam program Selamat Pagi Malaysia, beliau berkata tahun 2025 menjadi detik penting apabila kementeriannya menghampiri penghujung Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2016–2025, menurutnya, rangka strategi baharu akan diumumkan tidak lama lagi dengan tumpuan kepada memperkasa kerjasama industri, meningkatkan sumbangan sektor pendidikan tinggi kepada ekonomi negara dan memperluas penglibatan masyarakat.
Datuk Nor Azman menegaskan bahawa KPT terus mempercepat agenda keterangkuman selari dengan tunjang Malaysia Madani, memastikan kelompok B40 dan M40 menerima akses pendidikan tinggi yang lebih luas melalui skim pembiayaan, peluang pengajian bersesuaian serta keutamaan kepada kumpulan tertentu.
Fokus tersebut turut diperkukuh menerusi program jangkauan luar bagi membantu pelajar membuat keputusan tepat tentang masa depan pendidikan mereka.
Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan Malaysia kekal tinggi, menghampiri 90 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Bagaimanapun, KPT akan terus memperkukuh padanan bakat dengan keperluan industri, termasuk memastikan latihan industri lebih berkualiti bersama syarikat utama seperti Intel, Google dan Amazon.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa universiti mencatat sehingga 25 peratus graduan menerima gaji premium, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, teknologi perubatan jitu dan sektor digital.
Jelasnya, nilai teras Madani terutamanya hormat, inovasi, kemampanan dan kesejahteraan akan terus diterapkan dalam pembangunan pelajar.
KPT mahu pelajar membangunkan teknologi berpaksikan realiti serta memelihara alam sekitar, seiring usaha membentuk modal insan beradab, beretika dan berperibadi mulia.
“Masyarakat sentiasa menjadi teras. Kita mahu generasi pelajar yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga mempunyai sifat ihsan, hormat dan yakin diri,” katanya.
Dengan pelaksanaan dasar Madani dan penyusunan semula pelan strategik pendidikan tinggi, KPT yakin sektor pendidikan negara akan terus berkembang, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia menuju negara maju, makmur dan inklusif.