fb fb fb fb fb

Pendekatan strategik dalam transformasi pembiayaan kesihatan

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Sistem pembayaran kesihatan sedang melalui proses transformasi secara menyeluruh melalui pendekatan dua hala yang strategik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memaklumkan, pendekatan tersebut termasuk transformasi sektor awam melalui Dana Kesihatan Nasional (DKN), selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Dana Kesihatan Nasional berfungsi sebagai payung pembiayaan yang mengumpul sumber yang lebih luas. Ia tidak bergantung kepada caruman pekerja atau peruntukan kerajaan sahaja. Dana ini dibangunkan untuk memastikan perlindungan kesihatan sejagat dapat dicapai, tanpa membebankan fiskal negara dan kewangan isi rumah secara berlebihan," katanya.

Menurut beliau, pendekatan kedua pula meliputi reformasi dalam perkhidmatan sektor swasta yang bertujuan menangani inflasi perubatan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan melaksanakan pendekatan 'Whole of Nation', termasuk melalui penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) pada Jun 2025 dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Kewangan.

Datuk Lukanisman berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Amir Md Ghazali semasa persidangan Dewan Negara. 

MASNIZA AWANG KECHIK