fb fb fb fb fb

Banjir: 150 penduduk masih berlindung di PPS di Sarawak, Perak semakin pulih

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Seramai 150 penduduk terjejas banjir di Sarawak masih berlindung di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat pukul 12.00 tengah hari ini.

Sejumlah 53 keluarga itu ditempatkan di PPS di dua daerah iaitu Miri dan Bintulu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, PPS yang terlibat di Miri ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Angus dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai Niah dan Dewan Bulan Sabit Merah.

Sementara itu di Bintulu, situasi banjir menunjukkan trend pemulihan.

Penduduk yang berlindung di PPS Dewan Suarah berkurangan kepada 10 penduduk melibatkan dua keluarga dari Kampung Kemunting dan dijangka akan ditutup menjelang pukul 1.00 tengah hari ini.

Dalam pada itu, banjir di Perak mencatatkan perkembangan positif dengan jumlah penduduk terjejas semakin berkurangan.

Situasi banjir di Hilir Perak dan Manjung semakin pulih, dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 141 orang daripada 42 keluarga yang masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 147 mangsa daripada 43 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan daerah Hilir Perak merekodkan 117 mangsa daripada 35 keluarga manakala daerah Manjung dengan 24 mangsa melibatkan tujuh keluarga.

Menerusi laman web rasmi Public Infobanjir, Sungai Slim berada pada paras berjaga-jaga apabila mencatat 25.09 meter berbanding paras normal 23.50 meter.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM