fb fb fb fb fb

HRDCorp perkasa latihan pekerja, 2.41 juta tempat diluluskan

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk terus memperkasa pembangunan pekerja tempatan selari dengan nilai dan etika kerja MADANI.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan sehingga Oktober 2025, sebanyak 2.41 juta tempat latihan telah diluluskan oleh HRDCorp merentasi pelbagai sektor.

Daripada jumlah itu, 1,516 tempat latihan melibatkan kos keseluruhan RM11.4 juta bagi kursus nilai dan etika merentasi semua sektor seperti kod etika, tatatertib, pencegahan salah laku serta pengukuhan budaya kerja.

“KESUMA melalui HRDCorp bertanggungjawab melaksanakan kutipan levi di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) 2001 bagi tujuan pembangunan pekerja tempatan.

“HRDCorp sentiasa menjalankan libat urus dengan majikan dalam pelaksanaan latihan peningkatan dan latihan semula kemahiran, termasuk yang berteraskan nilai serta etika kerja MADANI,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan penyertaan latihan pekerja kekal tertakluk kepada majikan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 2(2)(A).

Namun, tindakan boleh diambil sekiranya tiada latihan dilaksanakan selaras dengan Seksyen 25 akta berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman di Dewan Negara.

AZRUL FAIZAL JUSOH