KUALA LUMPUR, 10 Disember - Pelantikan syarikat Rider Gate sebagai ejen pemungut bagi beberapa urusan pengangkutan tidak akan menjejaskan atau mengambil alih sistem MyJPJ.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menjelaskan, syarikat berkenaan hanya berperanan sebagai pemungut dilantik bagi pihak kerajaan, sama seperti agensi lain yang diberi kuasa mengutip bayaran tertentu.
"Mereka adalah pemungut sahaja. Mereka tiada kaitan dengan MyJPJ, tidak akan sentuh, tidak akan diusir atau pun MyJPJ diambil alih oleh Rider Gate ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Menurut beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan pelbagai proses pendigitalan melalui aplikasi MyJPJ, termasuk notifikasi tamat tempoh lesen, urusan pembaharuan serta pembayaran sama, sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko kesilapan manual.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Senator Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan akan terus memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan trafik melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berasaskan digital dan teknologi baharu melibatkan jabatan serta agensi bawah kementerian.
Ini termasuk menerusi penggunaan alat perakam badan (BWC), Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), selain sistem High Speed-Weigh in Motion (HSWIM) bagi mempertingkat penguatkuasaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Berhubung kos perolehan teknologi moden seperti BWC yang mencecah kira-kira RM23,000 seunit, Datuk Hasbi menjangkakan harga pasaran bagi peralatan keselamatan berkurangan apabila penggunaannya semakin meluas.
"Mungkin harga bagi teknologi moden ini akan turun pada masa hadapan apabila penggunaannya sudah menjadi kebiasaan. Kita memerlukan kerjasama daripada kementerian lain untuk melihat perkara ini sebab ia diperlukan oleh kerajaan. Kita akan cuba pastikan ia berjaya", katanya.