fb fb fb fb fb

KESUMA perkukuh kemahiran belia, sasar penglibatan 55,000 peserta tahun depan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited melahirkan belia dengan kemahiran masa depan termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan keselamatan siber.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata usaha itu direalisasikan menerusi Program Latihan Sepenuh Masa serta ‘Reskilling and Upskilling’.

Jelas beliau, sehingga Oktober 2025, seramai 23,486 pelajar mengikuti program sepenuh masa manakala seramai 78,558 peserta mengikuti program separuh masa meliputi 10 kluster teknologi dan kejuruteraan. 

"Bagi tahun 2026, seramai 55,000 peserta disasarkan untuk mengikuti kursus Teknologi Baharu dan High Growth High Value, termasuk dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, keselamatan siber, serta kenderaan elektrik (EV)," ujar beliau.

Jabatan Pembangunan Kemahiran turut menyelaras semakan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar sejajar teknologi semasa.

Selain itu, beliau turut memaklumkan TalentCorp memperkenalkan platform MyMAHIR.my dan 'MyMahir Skills Lab' mengikut keperluan industri.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Dr. Jufitri Joha di Dewan Negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM