fb fb fb fb fb

Penubuhan Lembaga Unggas Negara masih di peringkat perbincangan

MELAKA, 12 Februari- Penubuhan Lembaga Unggas Negara masih di peringkat perbincangan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini belum ada keputusan mengenainya.

Beliau mengulas mengenai penubuhan lembaga yang dicadangkan beberapa pihak, bagi memastikan ekosistem industri ternakan negara berfungsi dengan lebih jelas dan berkesan.

"Kadang kalanya kita sudah stabil dan sebagainya, berlaku penyakit hawar misalnya yang menyebabkan kematian ayam, ia juga berlaku perbezaan harga. Jadi kita akan lihat hal ini dari semasa ke semasa.

"Dia (bekalan telur pulih) tidak boleh disamakan seperti jalan raya yang kita boleh kata siap pada Julai 2023, benda hidup kita tidak boleh kata bila ia akan selesai. Paling penting kita nak keberadaannya di pasaran.

"Ia masih di peringkat perbincangan dan akan kita teruskan lagi," katanya.

(Datuk Seri Mohamad Sabu)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Operasi dan Kilang Milagro di Krubong, di sini.

Laporan akhbar hari ini memetik sumber penternak ayam telur sebagai berkata, antara mekanisme yang perlu diperhalusi untuk membantu industri ternakan unggas adalah menerusi penubuhan lembaga berkenaan.

Selain melantik syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat 100 peratus menghasilkan anak ayam ‘day-old-chick’ serta makanan dedak ayam.

Mengulas lanjut, kerajaan ketika ini sedang memastikan bekalan bahan makanan itu sentiasa berada di pasaran.

Dalam pada itu, Mohammad berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang berusaha menurunkan harga sayur di beberapa kawasan yang dikatakan mengalami kenaikan harga.

Menurutnya, perkara itu berlaku berikutan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini yang menjejaskan bekalan sayur-sayuran.

Media Baharu