fb fb fb fb fb

Penjawat awam di Perak terima bantuan khas Aidilfitri RM700

(FOTO HIASAN)

IPOH, 6 April - Seramai 7,892 penjawat awam di Perak akan menerima bantuan khas kewangan RM700 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penyaluran bantuan pada 17 April itu melibatkan semua gred perjawatan termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service dan Contract For Service.

(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

"Bantuan khas ini melibatkan peruntukan lebih RM5.63 juta. Penerima bantuan khas tersebut termasuklah guru sandaran tidak terlatih (GSTT), guru i'dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan dan pegawai sambilan harian," katanya pada sidang media sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini.

Tambah Saarani, kerajaan negeri juga bersetuju meneruskan bantuan Khas Aidilfitri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kadar RM500 seorang, seperti tahun lalu.

"Pemberian ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM1.79 juta sebagai insentif kepada 492 pesara kerajaan negeri Perak bagi tempoh Julai 2021 hingga Jun 2022.

Media Baharu