fb fb fb fb fb

Penjarakan saf solat bukan 'saja-saja' dibuat - Menteri Agama

FOTO JABATAN PENERANGAN
FOTO JABATAN PENERANGAN

BAGAN SERAI, 9 Januari - Tindakan kerajaan untuk memutuskan penjarakan saf solat bukan 'saja-saja' dibuat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.

Jelas Idris, sebaliknya keputusan dibuat setelah pihak berkuasa agama negeri mengambil kira pandangan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan ulama saat negara masih berdepan situasi pandemik COVID-19.

“Kalau kita ingin rapat saf, keputusan yang dibuat bukanlah saja-saja dibuat sebaliknya dah diputuskan oleh orang agama, ulama, KKM dan sebagainya.

"Kita juga kena rujuk kepada bidang kuasa agama negeri dan sekiranya dibenarkan KKM dan semua itu bergantung kepada keputusan mereka dan semua kena hormat.

"Di Arab Saudi pun mereka terpaksa melakukan penjarakan semula saf solat kerana tentu ada sebab tertentu dan insya-Allah kita akan bincang semula perkara itu dari semasa ke semasa apabila diperlukan," katanya selepas merasmikan pecah tanah bangunan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Bestari di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah beberapa negeri termasuk Perlis yang kembali merapatkan saf di masjid dan surau manakala Johor pula memendekkan jarak ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Idris memberitahu beliau akan membuat pertemuan dengan pengendali umrah susulan tindakan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi selama sebulan berkuat kuasa semalam.

Menurut Idris, pihaknya sedia berbincang mengenai masalah dihadapi pengendali umrah meskipun pelaksanaan ibadah umrah adalah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Boleh bincang dengan saya dan insya-Allah pegawai saya akan aturkan tarikh sesuai dalam masa terdekat,” tambahnya.

Berkuat kuasa semalam, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan bagi menilai dan meneliti risiko terhadap beberapa perkara termasuk SOP.

Media Baharu