
KANGAR, 21 Januari – Pelaksanaan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga melalui Matriks Pembelajaran Malaysia bermula 2027 menerima reaksi positif daripada masyarakat di Perlis.
- Pendekatan Matriks Tingkatan Tiga disambut baik sebagai langkah awal memperkukuh prestasi akademik generasi muda.
- Penilaian berpusat membantu kenal pasti keperluan pelajar dan meningkatkan kualiti pembelajaran secara lebih berkesan.
- Pelaksanaan berperingkat dianggap wajar untuk mengurangkan tekanan pelajar dan mempersiapkan mereka sebelum peperiksaan utama.
Tinjauan RTM mendapati, pendekatan itu dilihat sebagai langkah awal memperkukuh prestasi akademik generasi muda selaras dengan piawaian penilaian antarabangsa.
Melalui penilaian tersebut, semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mengenal pasti keperluan sebenar pelajar bagi meningkatkan kualiti pembelajaran secara lebih berkesan.
Menurut seorang bapa, Muhamad Taufik Atan, langkah kerajaan itu wajar kerana ia menjadi penanda aras kepada kemajuan sistem pendidikan negara.
Bagi Mohd Aizat Sharif Fisalluddin pula, pendekatan berkenaan selaras dengan perkembangan digital dan penggunaan teknologi.
“Subjek seperti Sains dan Matematik kini lebih difokuskan kepada pemahaman penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI )dan pendigitalan yang semakin meluas,” katanya.
Sementara itu, Zuhair Ahmad Zakuan berpandangan, pelaksanaan secara berperingkat adalah wajar bagi mengelakkan tekanan kepada pelajar.
“Pelaksanaan secara berperingkat adalah baik, rasional dan munasabah kerana kita faham pelajar tidak boleh tertekan. Jika dilakukan secara tergesa-gesa, ia hanya akan menjadi satu eksperimen,” katanya.
Manakala Nurul Azli Adzame berpendapat, pengukuran di peringkat tingkatan tiga adalah wajar dilaksanakan kerana ia membolehkan penguasaan subjek teras dinilai lebih awal.
“Pelaksanaan Matriks Tingkatan Tiga memang wajar kerana ia membolehkan penguasaan subjek teras diukur lebih awal, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara ke tahap antarabangsa,” katanya.
Bagi Mohd Ridzuan Mohd Yatim, penilaian itu memberi pendedahan awal kepada pelajar agar mereka lebih bersedia sebelum peringkat peperiksaan utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan, Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksanakan mulai 2026 melibatkan empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pula akan diperkenalkan bermula 2027 melibatkan lima mata pelajaran utama, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Kedua-dua pengukuran akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penilaian pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada penguasaan pembelajaran murid.