
KUALA LUMPUR, 23 Mac– Tindakan tegas pihak berkuasa tempatan dalam membanteras aktiviti perniagaan warga asing tanpa kebenaran, melegakan peniaga tempatan di sekitar Pasar Chow Kit, sekali gus mengurangkan persaingan tidak adil.
- Majoriti peniaga di Pasar Chow Kit kini warga tempatan; warga asing yang ada bekerja secara sah dengan permit lengkap.
- Penguatkuasaan lebih ketat sejak beberapa tahun lalu menghapuskan ruang bagi warga asing menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.
- Sesetengah warga asing hanya bekerja sebagai pekerja, bukan pemilik perniagaan; aktiviti ni dilaksanakan mengikut dokumentasi.
- Langkah kawalan membuka ruang untuk peniaga tempatan berkembang dalam persekitaran perniagaan yang lebih seimbang.
Tinjauan di lokasi mendapati majoriti peniaga kini terdiri daripada warga tempatan manakala warga asing kebanyakannya bekerja secara sah dengan permit dan dokumentasi lengkap.
Peniaga, Azwandy Abd. Ghani berkata keadaan tersebut berbeza berbanding beberapa tahun lalu apabila penguatkuasaan kini lebih ketat dan tidak lagi memberi ruang kepada warga asing untuk berniaga.
“80 peratus peniaga di sini orang kita, Melayu. Baki 20 peratus warga asing, tetapi mereka ada dokumen yang sah dan hanya bekerja di sini. Sekarang ini, yang berniaga semuanya orang kita, Melayu. Memang tiada warga asing yang berniaga di sini.”
“Sejak empat atau lima tahun kebelakangan ini, memang tidak lagi dibenarkan warga asing berniaga.”
“Dulu terlalu ramai warga asing, kami pun susah juga berniaga. Kehadiran mereka mempengaruhi perniagaan.”
“Alhamdulillah, sekarang pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan memang tidak benarkan. Jika ada, tindakan sita akan diambil. Malah yang ada lesen pun tidak dibenarkan lagi. Alhamdulillah, memang sudah tiada. Cuma di kawasan lain saya tidak pasti,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Annie memaklumkan warga asing di kawasan tersebut sekadar bekerja dan bukan menjalankan perniagaan.
“Perniagaan agak perlahan buat masa ini. Saya hanya bekerja di sini manakala pemilik premis pula sedang bercuti di China,” kata Annie.
Seorang lagi peniaga, Sahlin Mispan menjelaskan kehadiran warga asing sebagai pelanggan juga agak merosot berbanding sebelumnya.
“Kebanyakan pelanggan sekarang adalah warga tempatan. Ini kerana ramai warga asing, seperti warga Indonesia, telah pulang ke kampung halaman masing-masing, jadi jumlah pelanggan tempatan kini lebih ramai,” kata Sahlin.
Secara keseluruhan, penguatkuasaan yang lebih ketat bukan sahaja berjaya mengawal penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan di ibu negara.
Paling penting, ia membuka lebih banyak ruang kepada peniaga tempatan untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan yang lebih seimbang.