KUALA LUMPUR, 31 Julai – Hari Pahlawan menjadi simbol penghormatan tertinggi negara kepada wira tanah air yang telah mengorbankan keringat, masa dan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tanggal 31 Julai setiap tahun disambut sebagai pengiktirafan terhadap jasa anggota pasukan keselamatan yang sejak zaman penjajahan hingga kini, terus menjunjung amanah mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman, termasuk komunis dan ancaman luar.
“Pengorbanan mereka bukan sahaja membentuk asas keamanan negara, malah menjadi tunjang kepada kemakmuran yang dinikmati seluruh rakyat hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Fadillah berkata, kisah keberanian wira-wira negara dalam operasi keselamatan, baik dalam mahupun luar negara, diangkat sebagai teladan keberanian dan semangat patriotisme yang tiada tandingan.
"Buat para pahlawan yang telah pergi, negara tidak pernah melupakan jasa mereka. Doa dan penghargaan sentiasa mengiringi perjuangan yang telah ditinggalkan.
"Bagi anggota yang masih berkhidmat, rakyat terus menaruh kepercayaan penuh terhadap tanggungjawab yang digalas," katanya.
Beliau berkata, negara Malaysia yang bebas dan berdaulat hari ini tidak mungkin tercapai tanpa semangat juang, disiplin dan kesetiaan para perwira.
“Malaysia tetap utuh kerana pengorbanan kalian semua. Selamat menyambut Hari Pahlawan 2025.
Semoga semangat perjuangan dan cinta tanah air terus mekar dalam jiwa rakyat Malaysia,” katanya.