
KUALA LUMPUR, 4 April -Semua pengguna pengangkutan awam diingatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
- Insiden penumpang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum, mengaktifkan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES).
- Mangsa diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
- Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya terganggu, Rapid Rail memaklumkan pulih semula pada 6.59 petang.
- Menteri menghargai tindakan pantas JBPM, APM, kakitangan Prasarana dan kesabaran penumpang semasa operasi penyelamatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, peringatan itu susulan insiden melibatkan seorang penumpang yang terjatuh ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di Stesen Abdullah Hukum, petang semalam.
“Saya telah dimaklumkan mengenai satu insiden melibatkan seorang penumpang yang terjatuh ke landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum yang turut mengaktifkan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) ketika tren sedang menghampiri stesen.
“Saya bersyukur kerana nyawa mangsa berjaya diselamatkan dan sistem keselamatan yang tersedia turut berfungsi sebagaimana sepatutnya dalam situasi kecemasan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Loke menzahirkan penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta kakitangan Prasarana Malaysia Berhad atas tindakan pantas dan profesional dalam mengendalikan situasi berkenaan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penumpang lain di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada anggota penyelamat sepanjang kejadian berlaku.
Terdahulu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan pada 6.09 petang susulan insiden penumpang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Abdullah Hukum, kembali pulih pada 6.59 petang.
Mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.