KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Proses penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang rosak dijangka siap menjelang tahun depan.
Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerja-kerja penggantian lif kebiasaannya mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan selepas proses tender selesai dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan DBKL mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi menaik taraf lif di kawasan PPR serta RM200 juta lagi untuk penambahbaikan gerai di seluruh ibu negara.
“Kita jangka kebiasaannya untuk menukar lif akan mengambil masa sekitar enam ke sembilan bulan setelah proses tender dan segalanya selesai. Jadi, kita harapkan menjelang tahun depan mana-mana lif yang rosak, contohnya di Lembah Pantai seperti di PPR Kampung Limau dapat digantikan.
"Saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama pihak DBKL akan memulakan proses tender untuk tujuan itu. Namun, memandangkan perkara ini disebut dalam bajet, ia perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Lembah Pantai 2025, di sini.
Beliau turut memaklumkan akan berhubung dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bagi mengenal pasti kawasan Parlimen yang perlu diberi keutamaan dalam proses penggantian lif.
Datuk Fahmi turut menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali kepada lebih 650 penerima di kawasan Lembah Pantai, dengan jumlah keseluruhan penerima dijangka melebihi 1200 orang penerima.