SEREMBAN, 10 Disember - Pengendali bas Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) atau Bas.My dinasihatkan supaya mematuhi jadual kekerapan dan laluan secara konsisten.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, ia bagi memastikan kecekapan perkhidmatan selain pematuhan terhadap Sistem Penentukedudukan Global (GPS) Bas.My menerusi aplikasi yang akan diperkenalkan kelak.
"Frekuensi memang kita kerapkan dengan adanya Bas.My, ia dibayar kerajaan. Maksudnya untuk pengendali dia tak rugi, dalam skim ini dia tidak boleh potong frekuensi dan tiada alasan untuk potong frekuensi sebab kalau potong tak dapat bayaran. Kita bayar ikut berapa perjalanan, walaupon bas kosong walaupun bas ada satu penumpang sahaja tetap jalan," kata Loke.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pakej A Program SBST Seremban atau Bas.My Seremban,di sini.
Bas.My Seremban melibatkan tujuh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Seremban, Port Dickson, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin.
Ia menyediakan 85 bas baharu termasuk 18 panjang dan 61 mini dengan tawaran pas bulanan perjalanan tanpa had bernilai RM50 bagi kesemua 21 laluan.
Tawaran Kad Konsesi Bas.My turut diperkenalkan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar untuk menikmati perjalanan secara percuma dengan pendaftaran hanya RM10.