KUALA LUMPUR, 2 Februari - Pengamal media bertanggungjawab mendukung prinsip berita yang tepat dan beretika sepanjang masa sekali gus meningkatkan integriti media itu sendiri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan; pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) banyak menerima aduan mengenai pengamal media, sama ada melibatkan media konvensional, media dalam talian serta media sosial yang sewenang-wenangnya melanggar etika dan undang-undang negara.
Beliau percaya semua pengamal media mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian sendiri dan kekuatan moral untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan.
Meskipun Kerajaan amat menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan.
Pelaporan yang melanggar hak orang lain atau melanggar undang-undang tidak seharusnya berlaku dan mestilah dielakkan kerana ia boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan sivil atau tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan.