fb fb fb fb fb

KKMM teliti kaedah pelaporan audit ukur kualiti capaian internet -Annuar Musa

 



KOTA BHARU, 2 Februari- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperhalusi tahap kualiti capaian internet menerusi satu kaedah atau bentuk pelaporan audit yang jelas

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perincian berhubung perkara berkenaan akan segera dibuat sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

"Kita juga telah arahkan SKMM peringkat negeri supaya sentiasa membuat audit kawasan mana yang selalu mengalami 'blind spot' (titik buta), bekalan tidak stabil selain perlu membuat satu kajian bersama dengan Telco yang terlibat.

"Sekarang ini kita dah memperkasa setiap negeri dan SKMM mewujudkan pejabat negeri untuk melihat permasalahan yang masih berlaku di kawasan terbabit," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ketereh dan melancarkan Mesin Automatik Mudah Alih (ATM) Beras di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata kaedah berkenaan perlu dilakukan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada dan tidak bergantung dengan laporan daripada syarikat Telco semata-mata.

"Apabila saya turun di mana-mana kawasan, saya akan membuat semakan secara rawak Internet di kawasan tersebut dan akan bandingkan dengan laporan yang diterima.
"Kadangkala laporan yang diterima tidak sama dengan keadaan Internet di kawasan tersebut. Saya harap syarikat Telco yang terlibat perlu mempunyai sikap bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, mengenai program transformasi digital Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), beliau berkata, baki hampir 200 PEDi dijangka diwujudkan sepenuhnya selewat-lewatnya dua tahun lagi.

"Sebahagian besar (PEDi) kita sasarkan mahu siapkan tahun ini tetapi nak bina sesuatu PEDi ini bergantung kepada banyak perkara seperti untuk mendapatkan Telco, sewa premis dan rekrut staf untuk setiap PEDi selain mempunyai pengisian program secara tersusun.
"Proses ini tidak boleh buat dalam tempoh satu atau dua minggu," katanya.

Tambahnya, setiap PEDi akan memberi latihan dan bimbingan berkaitan ekonomi digital bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Annuar sebelum ini berkata, tiga Pusat Internet Desa (PID) di Pahang akan selesai dinaik taraf kepada PEDi pada suku pertama tahun ini.

Menerusi ciapan di akaun Twitternya, Annuar berkata tiga PID terlibat adalah di Bukit Goh, Kuantan; Sungai Koyan, Lipis dan Felda Bukit Selancar 1, Rompin.

Media Baharu