KUCHING, 12 September - Penerbangan terus laluan Kuching-Pontianak-Kuching kembali beroperasi hari ini selepas dihentikan lebih lima tahun.
Menerusi pembukaan semula laluan itu, pengembara kini hanya mengambil masa kurang daripada sejam untuk tiba di destinasi masing-masing, berbanding perjalanan darat yang memakan masa enam hingga lapan jam.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah memberi impak positif kepada industri penerbangan, pelancongan, serta perniagaan.
“Kesalinghubungan ini akan terus mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan Kalimantan Barat,” katanya semasa majlis pelepasan penerbangan pertama dari Kuching ke Pontianak pada 9.05 pagi tadi.
Turut hadir, Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona bersama delegasi rasmi yang menaiki penerbangan berkenaan ke ibu kota Kalimantan Barat.
Sementara itu, penerbangan pertama dari Pontianak selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 11.02 pagi, disambut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.