fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas di Desa KEDA Sungai Semiar terima bantuan sumbangan

KEDA menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas di Desa KEDA Sungai Semiar

SIK, 11 Ogos - Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 4, Sik mengadakan Program Ziarah Kasih bagi menyantuni mangsa bencana ribut yang berlaku di sekitar Mukim Jeneri, termasuk di Desa KEDA Sungai Semiar.

KEDA dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian ribut yang berlaku pada Jumaat lalu mengakibatkan tujuh buah rumah di kawasan tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung dan struktur rumah.

"Pihak teknikal turut membuat penilaian awal bagi menganggarkan kos baik pulih rumah-rumah terjejas. KEDA juga telah meluluskan peruntukan bagi membaik pulih bumbung yang rosak," menurut kenyataan itu.

1108 KDH ZIARAH RIBUT2Keadaan bumbung rumah yang diterbangkan akibat ribut pada Jumaat

Rombongan itu menziarahi setiap rumah penduduk terjejas dan menyampaikan sumbangan bakul makanan selain meninjau kerosakan akibat ribut.

Program Ziarah Kasih itu turut dihadiri Pegawai Pembangunan KEDA Zon 4, Muhamad Fikhri Zulkifli; Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Rosimah Darus; Penolong Jurutera, Abdul Nasir Romli dan Penyelia Desa KEDA Sungai Semiar, Mohd Faizal Abd Razak.

Program itu mencerminkan keprihatinan KEDA terhadap kesejahteraan komuniti luar bandar, selain memastikan bantuan awal dapat disalurkan segera kepada mangsa bencana.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI