fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir berdepan serangan gajah

Penduduk di Kampung Contoh, Kluang yang terkesan akibat banjir, kini diuji lagi apabila tanaman di kawasan rumah mereka musnah diserang sekumpulan gajah, awal pagi tadi / Foto RTM

KLUANG, 15 Januari – Penduduk di Kampung Contoh, di sini yang terkesan akibat banjir, kini diuji lagi apabila tanaman di kawasan rumah mereka musnah diserang sekumpulan gajah, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi, melibatkan lapan hingga sembilan ekor gajah yang berada berhampiran rumah penduduk yang terjejas.

Menurut Rustam Tahir, yang kembali ke rumah untuk memeriksa keadaan selepas banjir, beliau dikejutkan dengan kehadiran gajah-gajah tersebut dan hanya mampu berlindung di dalam rumah.

"Saya tengok anak dia empat, jantan seekor tinggi. Dalam lapan ke sembilan ekor. Tapi yang saya risau dapur dia hentak kuat. Saya pun takut, sorang saja di sini. Pagi tadi saya tengok, semua pisang habis tumbang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Rohayu Ahmad berkata beliau datang dari Kahang untuk melawat sepupunya selepas mendengar laporan serangan gajah menerusi kumpulan WhatsApp.

"Saya dari Kahang, ke sini hendak tengok sepupu saya. Dalam grup kata ada rumah kena serang gajah, makan kelapa dan sebagainya. Bila tengok-tengok memang betul ada," katanya.

Kumpulan gajah tersebut dipercayai merosakkan tanaman penduduk dalam usaha untuk mendapatkan makanan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN