Pendidikan dan Kesihatan antara perkara utama dibincang dalam MTPMA63

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / BERNAMA

KUCHING, 7 Mac – Perkara-perkara yang telah diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baru-baru ini, dijangka dibentang di peringkat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) sebelum pertengahan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan dan kesihatan kekal fokus utama perbincangan teknikal MA63.
  • Mesyuarat MTPMA63 akan dipengerusikan Perdana Menteri, dihadiri Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
  • Kerajaan atur pemulangan rakyat dari Asia Barat melalui pesawat sewa dan laluan darat, bekerjasama dengan syarikat penerbangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antara perkara utama yang diperhalusi adalah berkaitan pendidikan dan kesihatan.

Mesyuarat MTPMA63 itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebarang butiran akan diumumkan selepas mesyuarat itu kelak.

“Tunggu, mesyuarat itu masih belum mempunyai tarikh. Tetapi biasanya, kita akan mengadakan mesyuarat ini dua kali setahun. Diharapkan ia dapat diadakan secepat mungkin, dijangka antara bulan Mei dan Jun”, katanya pada Penyerahan Sumbangan Zakat 2026 anjuran Yayasan Telekom Malaysia di Kuching.

Sementara itu, kerajaan sedang mengatur kaedah terbaik untuk bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan konflik  yang berlaku di rantau berkenaan.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata 3,000 rakyat yang terkandas merupakan pelancong, manakala hampir 20,000 adalah mereka yang bermastautin di rantau itu.

Kerajaan merancang guna pesawat sewa khas, selain membawa keluar mereka yang terkandas di kawasan zon larangan penerbangan menerusi laluan darat ke kawasan yang lebih selamat sebelum dibawa pulang ke tanah air.

“Kementerian Luar Negeri sedang berunding dengan syarikat penerbangan MAS, AirAsia, dan Batik Air kerana kita perlu menyewa pesawat (charter aircraft) untuk membawa mereka pulang. Perkara ini kini sedang diuruskan”, katanya.

Kerajaan juga sedang memantau perkembangan konflik di rantau itu.