(Sekitar pemandangan di muara Sungai Merang)
SETIU, 13 Mac- Selepas lebih puluhan tahun, masalah muara cetek di Sungai Merang, Setiu masih lagi tiada jalan penyelesaian muktamad.
Sudah tidak sabar menunggu, para nelayan, pengusaha resort dan bot pelancongan di Merang, disini mengambil inisiatif mengumpul wang hampir RM20,000 dalam tempoh beberapa hari bagi mendalamkan muara sungai itu untuk tempoh jangka pendek.
Langkah terdesak itu dilakukan, supaya rayuan melibatkan penjanaan ekonomi kira-kira 3,000 komuniti penduduk dari beberapa buah kampung di Merang yang bergantung kepada hasil laut dan menggunakan muara kuala sungai berkenaan sebagai laluan, dapat diambil perhaatian segera oleh pihak atasan.
Sebelum ini bermula November lalu sehingga akhir Februari, aktiviti pelancongan ke pulau-pulau peranginan di negeri itu dihentikan seketika, kerana musim tengkujuh monsun timur laut.
"Kalau kuala tu cantik, walaupun ombak ada.. gelombang sikit-sikit, nelayan boleh keluar tetapi jika kuala cetek, nelayan tidak berani nak keluar,"keluh Jamaluddin Mohamad, salah seorang nelayan di Merang.
Bukan sahaja golongan nelayan, malah operator pusat pelancongan di kawasan tersebut turut terjejas.
"Bot kita sendiri pun pernah terbalik, melibatkan kerugian, kalau tidak silap saya sekitar RM30,000 pada ketika itu. Sudah pasti, ia menjejaskan reputasi kami, selain melibatkan keselamatan orang ramai. Kita takut pelancong serik untuk datang ke Pulau Redang melalui muara sungai Merang,"kata Khairul Azizi Mohamad, salah seorang pengusaha resort di Pulau Redang
Melalui wakil dilantik, penduduk berjaya mengumpul kutipan yang diperlukan, seterusnya menyewa sebuah jengkaut (tambahan jentera) bagi mempercepatkan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Merang.
"Kita terpaksa menyewa jengkaut untuk membuat benteng penahan ombak dan laluan supaya nelayan tidak perlu menolak bot pada waktu pagi dan tengah hari," luah Azhar Che Razak, wakil pengusaha resort dan bot pelancong Merang.
Kerja-kerja membina banteng itu termasuk meletakkan beg guni pasir bagi mempermudahkan laluan bot pelancong dan bot nelayan melalui muara tersebut.
Langkah itu sekali gus mengurangkan risiko terhadap kerosakan enjin bot, sebelum ini penduduk dilaporkan amat bergantung kepada faktor pasang dan surut air laut.
Penduduk mendakwa ketika keadaan berombak, boleh menyebabkan bot berpusing dan boleh mengundang kepada risiko bot terbalik.
Menyedari masalah itu, Ketua Cabang PKR Setiu Wan Rahim Wan Hamzah memaklumkan akan membawa memorandum mengenai muara sungai Merang cetek ini, ke Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Melawati Shah Alam pada 18 Mac ini sebelum diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selaku Perdana Menteri.
"Pada 22 Februari saya dah hantar satu surat lagi merayu kepada Kementerian Alam Sekitar, melalui menterinya, Nik Nazmi supaya ambil tahu hal ini, dengan segera supaya aktiviti ekonomi dan aktiviti berkaitan dengannya boleh berjalan dengan lancar," jelas Wan Rahim.
Beliau berharap usaha tersebut mendapat perhatian, dalam usaha mempercepatkan pelan projek jangka panjang muara sungai Merang, Setiu, yang sekian lama menjadi igauan para pemandu bot pelancong dan nelayan yang berulang-alik mencari rezeki di lautan.
(Kerja-kerja mendalamkan muara sungai, hasil inisiatif sendiri
nelayan, pengusaha resort dan penguasaha bot)