KUALA LUMPUR, 6 Januari - Penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah diteruskan untuk tempoh sebulan, berkuat kuasa Sabtu ini.
Selain itu, penilaian risiko dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mempertimbangkan pembukaan semula.
Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, perbincangan sepanjang tempoh penangguhan ibadat itu akan turut
membabitkan kerjasama Arab Saudi dan Konsulat Malaysia di negara terbabit, sebelum perjalanan umrah kembali dibenarkan.
"Varian Omicron paling banyak dari pengembara yang kembali dari Arab Saudi yang mengerjakan ibadah umrah. Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat keputusan untuk menangguhkan sementara ibadah umrah bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 terutamanya yang melibatkan varian Omicron", katanya dalam sidang media khas di Parlimen.
Tambah beliau, KKM bersama kementerian dan agensi berkaitan akan mengemaskini SOP umrah termasuk pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan ibadah itu.
Selain, pengurusan kes dan kontak rapat serta pemantauan status kesihatan jemaah umrah di Arab Saudi.
"Agensi pelancongan juga perlu memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas dan melaporkan kes positif serta kontak rapat kepada pihak Kementerian Kesihatan di Malaysia", katanya.