Pemukiman Kementerian Ekonomi 23-25 Januari: Pacu sasaran pencapaian objektif

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menyampaikan amanatnya pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 di Kompleks Perbadanan Putrajaya/BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Januari -Kementerian Ekonomi akan mengadakan sesi pemukiman dari 23 hingga 25 Januari ini, bagi merangka strategi serta menyelaraskan gerak kerja dan indikator prestasi utama (KPI) kementerian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perincian pelaksanaan sasaran untuk mencapai objektif kementerian dan menjadi pemangkin kemajuan negara.
  • Menyelaraskan indikator prestasi utama termasuk pencapaian, impak nasional, dan garis masa pelaksanaan.
  • Menegaskan pelaksanaan RMK13 melibatkan semua pihak agar manfaat dasar dirasai oleh rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sesi tersebut bertujuan memperincikan pelaksanaan sasaran agar mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

“Saya sedar Kementerian Ekonomi mempunyai standard ekonomi tersendiri, dan tahun ini kita akan mengekalkan standard tersebut. Dalam sesi pemukiman ini, kita akan memperincikan indikator-indikator yang ingin dicapai, termasuk soal pencapaian, impak kepada negara, serta garis masa pelaksanaan,” katanya
ketika berucap pada Majlis Amanat 2026 dan Perhimpunan Bulan Januari bagi Kementerian Ekonomi, di sini.

Mengulas mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau menegaskan ia perlu melibatkan semua pihak, khususnya kementerian-kementerian serta seluruh jentera kerajaan.

“Pelaksanaan RMK13 bukan sekadar dokumen di atas kertas, tetapi perlu dirasai oleh rakyat. Mereka harus jelas dengan tindakan dan pelaksanaan dasar yang akan membawa manfaat secara langsung,” tambah beliau.